Sunday 19 June 2011

Usah Bertahan Hanya Kerana Anak

“Saya dan suami tidak lagi sehaluan. Saya syak suami ada perempuan lain kerana dia tidak lagi ambil tahu tentang hal keluarga terutamanya anak tunggal kami. Saya berbelah-bahagi sama ada mahu memohon cerai ataupun tidak kerana bimbangkan anak kami yang sangat manja dengannya sedangkan saya tiada hati lagi padanya.”


PANDANGAN KAUNSELOR :
Ingin saya kongsikan satu maksud firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Hujurat: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Maaf jika puan terasa tetapi saya perlu nyatakan juga. Puan terlalu mudah cemburu dan bersangka buruk terhadap suami. Sikap seperti ini bukan sahaja tidak baik untuk rumah tangga malah untuk kehidupan puan sendiri. Kenapa saya labelkan puan sedemikian? 

Pertama: puan dengan senang menuduh suami mempunyai perempuan lain disebabkan suami tidak lagi mengambil berat tentang puan dan anak. Kedua: puan dengan senang membuang suami daripada hati puan hanya kerana sangkaan yang masih belum pasti kebenarannya.

Hidup kita adalah ujian. Bahagia, derita, berjaya, gagal, miskin atau kaya; semua itu adalah ujian untuk kita hadapi dengan tenang dan sabar di samping usaha dan doa serta tawakkal kepada-NYA. Puan sedang diuji oleh ALLAH SWT dengan sikap suami yang tidak lagi pedulikan hal keluarga; tidak endahkan isteri dan anak. Namun tidak bererti ketidakpedulian itu tanda cinta suami beralih arah.

Sepatutnya puan berusaha mendapatkan penjelasan. Soal dan berbincang dengan suami secara baik; apakah yang mengganggunya? Tidak semestinya wanita yang jadikan dia sebegitu. Mungkin dia mengalami gangguan kerjaya atau penyakit bahaya. Bagi mengelakkan rasa kehilangan, dia “hilangkan” diri terlebih dahulu. Sebaiknya dapatkan kepastian; bukannya hanya dengan sangkaan.

Jika benar suami punya wanita lain, kenapa perlu mengalah begitu sahaja? Puan adalah isterinya dan ada anak bersamanya. Sepatutnya puan berusaha untuk terus memenangi hati suami. Koreksi diri apakah punca dan sebab suami berpusing arah? Tidak semestinya 100% salah suami atau wanita kekasih baru suami. Kita manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan dan kelemahan. Muhasabah diri dan usahakan untuk menjadi yang lebih baik. Jika masih belum temui jawapannya, mohon kerjasama suami untuk berterus terang.

Puan boleh praktikkan amalan menulis pengakuan ikhlas. Mohon suami luahkan segala isi hatinya berkaitan puan termasuk sikap yang dia tidak senangi dan perubahan sikap yang dia inginkan. Puan juga lakukan perkara yang sama. Luahkan segala ketidakpuasan hati dengan sikap suami dan jelaskan kehendak dan impian puan berkaitan suami. Puan perlu berusaha menyelamatkan perkahwinan. Bukan hanya kerana anak tetapi kerana akad nikah dan persetujuan puan untuk hidup bersama suami sebagai isterinya dahulu adalah satu perjanjian dan amanah yang perlu dipelihara dan dipertahankan.
Bukan dengan terus mengibarkan bendera putih. Mudah sungguh puan memadam cinta. Terus terang, sikap terlalu ambil mudah ini menimbulkan keraguan saya terhadap pengakuan puan. Fitrah wanita atau isteri: Tidak mudah melepaskan hak miliknya kepada orang lain begitu saja. Hanya dengan syak wasangka, puan mengambil keputusan untuk berpisah. Boleh berikan saya pengakuan ikhlas - bukan suami yang punya cinta baru sebaliknya puan yang ada cinta baru, betul?!

Mohon maaf andai telahan ini salah. Seperti yang saya jelaskan; puan bersikap tidak seperti fitrah seorang wanita yang akan berjuang mempertahankan hak. Mungkin pengakuan puan menerusi soalan ini tidak lengkap namun seperti yang saya terangkan pada awal jawapan tadi, puan sedang diuji. Ujian ALLAH SWT pasti ada hikmah tersendiri. Hikmah bukan musibah sebaliknya anugerah dengan syarat usahakan dengan sedaya upaya tanpa menyerah kalah dengan mudah.
Andai benar telahan saya, saya mohon agar puan berusaha membersihkan hati. Saya faham kita adalah manusia biasa. Tidak kira lelaki atau wanita; suami atau isteri pasti akan ada kasih yang hilang bila tidak lagi dibajai. Namun sebagai isteri, kita tidak sama dengan suami. Syariat tentukan haram bagi isteri untuk menyimpan rasa kasih atau suka kepada lelaki lain selain suami walaupun si suami bersikap setanding syaitan. Jika suami memang jenis jahat, usahakan untuk mengubah dirinya. Betullah ada ayat yang menjelaskan lelaki baik untuk wanita yang baik, begitu juga sebaliknya. Namun, bila ALLAH SWT tentukan dia adalah jodoh kita, bererti Dia ada perancangannya tersendiri. Mungkin hanya kita yang boleh mengubah suami dengan izin ALLAH SWT. Yang penting usaha dan doa.

Ketika berusaha untuk selamatkan hubungan perkahwinan, jangan simpan niat berusaha demi anak semata. Sebaliknya, niatkan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan puan, suami dan anak bersama. Jika niatkan kerana anak, insya-ALLAH, DIA akan izinkan perkahwinan kekal tetapi puan tetap tidak akan bahagia. Apa guna kekal dalam perkahwinan sebegitu? Sebab itulah, ikhlaskan hati dan niatkan untuk mencapai kebahagiaan bersama.
Di samping berusaha, pastikan puan mendirikan solat dan berdoa mohon yang terbaik daripada-NYA. Ingat! Jangan pertikai kerja ALLAH SWT. Terus berdoa tanpa putus asa. Kalau doa cepat dimakbulkan, tanda DIA sayang. Bila doa lambat dimakbulkan, tanda DIA rindu dan kasihkan kita dan inginkan agar kita sentiasa berdoa penuh rayuan kepada-NYA. Bila doa kita tidak dimakbulkan, tandanya DIA ada perancangan yang lebih baik. Percaya dan yakinlah!

Hidup bukan satu perhitungan bagi tentukan siapa kalah atau menang. Hidup juga bukan satu perjudian. Sekadar menunggu dan menanti apa bakal jadi. Sebaliknya hidup adalah satu perjuangan. Perjuangan pertahankan hak sendiri, laksanakan hak orang lain, mencipta bahagia diri dan paling penting, menjalankan segala amanah dan tanggung jawab yang telah ditetapkan. Moga DIA mudahkan segala yang terbaik untuk kehidupan puan, suami dan anak di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment