Sunday 12 June 2011

Pelamin Anganku MUSNAH... TIDAK!


Suatu ketika dulu, pernah dihebohkan tentang ramai pasangan yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi bagi melangsungkan perkahwinan. Hal ini merupakan salah satu punca berlakunya peningkatan maksiat pada hari ini dan ada juga pasangan yang mengambil keputusan untuk duduk bersama tanpa berkahwin ataupun bersekedudukan. Selain itu, kemunculan pelbagai kemudahan kewangan sama ada daripada institusi kewangan ataupun peminjam wang tanpa lesen, telah memungkinkan pasangan yang ingin berkahwin membuat pinjaman semata-mata untuk berkahwin. Wajarkah?

Selain itu, dengan kadar inflasi dan harga barangan yang semakin melonjak naik kini, ramai pasangan pada hari ini tidak berfikir panjang lalu mengambil keputusan untuk berhutang semata-mata mahu melangsungkan perkahwinan secara besarbesaran tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang. Oleh yang demikian, tidak hairanlah banyak musibah yang melanda pasangan pada hari ini seperti berhutang wang hantaran walaupun sudah bercerai. Hal ini sangat menyedihkan kerana Islam tidak mengajar umatnya untuk membelakangkan agama apabila dilanda musibah. Ikatan perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci dan istimewa yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk hamba-hamba-Nya. Perkahwinan merupakan satu ibadat yang disyariatkan oleh agama maka laksanakanlah perkahwinan dengan sempurna. Ikatan antara lelaki dan wanita yang telah diciptakan untuk bersama seharusnya dipupuk dengan sifat sederhana. Agama Islam menyuruh umat-umatnya untuk bersifat sederhana dalam semua hal.

1.Kos perkahwinan yang tinggi
Bagi anda yang sedang bercinta ketika ini, mungkin usia perkenalan dengan si dia sudah terlalu lama. Anda merasakan sudah tiba masanya hubungan ini ditamatkan dengan ikatan yang sah iaitu perkahwinan. Satu ikatan yang suci dan murni sebagai suami isteri dan membina mahligai cinta. Oleh yang demikian, hasrat untuk mendirikan rumah tangga ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti anda memetik bunga di taman. Keinginan anda yang membuak-buak untuk mendirikan rumah tangga itu bagaikan terhenti apabila bajet perkahwinan yang kadang-kala mencecah hampir RM20,000. 

Hampir tercabut juga nyawa dari badan tatkala memikirkan jumlah wang yang banyak itu. Jumlah yang diperlukan itu tidak termasuk lagi dengan kos pengangkutan untuk ke rumah pengantin. Duit minyak, tol, penginapan bagi pihak pengantin yang bertandang, dan bermacam-macam lagi persiapan yang perlu difikirkan. Lain pula ceritanya jika pasangan anda itu duduk sekampung. Boleh juga buat majlis pada sebelah pihak sahaja bagi menjimatkan kos. Itu hanyalah kos secara kasar sahaja kerana tidak termasuk dengan kehidupan selepas berkahwin. Jika anda berhabisan semasa melangsungkan perkahwinan, apa pula yang tinggal untuk kehidupan selepas berkahwin? Persiapan seperti rumah, perabot, keperluan dapur, dan sebagainya juga perlu disediakan. Pendek kata, jika tidak mempunyai RM20,000 di dalam simpanan, impian untuk melangsungkan perkahwinan mungkin akan musnah. Jadi, bagaimana mahu melangsungkan perkahwinan jika wang yang diperlukan tidak ada? Oleh itu, jangan terburu-buru membuat keputusan dengan membuat pinjaman sama ada daripada bank ataupun adik-beradik.

2.Perancangan awal
Persediaan dan perancangan yang rapi adalah sangat perlu. Persediaan di sini bukan sahaja merujuk kepada wang ringgit tetapi diri bakal pengantin itu sendiri iaitu anda dan pasangan anda. Sudahkah anda dan pasangan anda bersedia menempuh alam rumah tangga? Oleh itu, kesederhanaan dan belanja ikut  kemampuan masing-masing sangat penting untuk bakal pengantin yang mahu melayari bahtera perkahwinan. Memang tidak dapat dinafikan, jika ditanya kenapa mahu berlebih-lebihan? Jawapan yang diberikan pasti – kerana kahwin hanya sekali seumur hidup. Apa salahnya berlebih sedikit? Jawapan yang diberi adalah benar. Namun seperti yang diperkatakan tadi, perkahwinan bukanlah untuk sehari dua tetapi melibatkan jangka masa yang panjang. Oleh itu, berjimat cermatlah. Buatlah persediaan yang secukupnya supaya mahligai bahagia yang bakal anda lalui akan bahagia selamanya.

No comments:

Post a Comment