Sunday 12 June 2011

Bajai syurga rumah tangga

 “Selamat pengantin baru Semoga kekal sampai ke anak cucu.” Inilah antara kata-kata ucapan yang sering menjadi pilihan setiap kali  mengunjungi majlis perkahwinan rakan ataupun saudara mara. Namun, tidak semua perkahwinan kekal selamanya. Banyak yang kecundang di pertengahan. Mengapa?
Kepada yang belum  pernah melaluinya, perkahwinan dianggap sebagai syurga. Segala-galanya manis dan indah belaka. Sama seperti ketika sedang hangat bercinta dahulu. Namun, hakikatnya banyak ranjau yang terpaksa ditempuhi setelah sah bergelar suami ataupun isteri. Orang sering berkata cinta itu buta.

Tapi sebenarnya, perkahwinan benar-benar membuka mata. Memang masa bercinta dahulu, semua  keburukan pasangan anda tidak nampak. Tup,tup lepas sahaja berkahwin, terbukalah segala pekung di dada. Kelemahan dan keburukan terbongkar. Tapi, apa nak dikata, ikatan sudah termeterai. Teruskanlah sahaja dengan seribu tekad di dada, memperbaiki kelemahan diri agar mahligai yang dibina tidak kecundang di tengah jalan.
Dalam zaman yang serba moden ini, perkahwinan juga sudah moden. Berkahwin dan kemudian  bercerai sudah menjadi lumrah bagi sesetengah orang. Bahkan ada yang berbangga dengan pencapaian mereka. Mampu kahwin dan berkahwin lagi. Berbeza dengan zaman dahulu, perkahwinan hanyalah sekali. Itulah pasangan sehidup semati, walaupun pada mulanya tanpa persetujuan. Dek kerana tidak mahu menderhaka, kehendak ibu dan ayah terpaksa dituruti. Dan syukurlah, ramai yang mampu bertahan hingga ke akhir hayat.
Berbicara tentang kisah rumah tangga ini, semua orang lebih banyak mendengar cerita  yang buruk daripada yang baik. Kisah suami isteri bercerai-berai sudah terlalu biasa didengar. Hinggakan ramai yang malas hendak ambil kisah tentangnya. Namun, pada hakikatnya, kisah inilah yang perlu kita terokai. Cari sebab mengapa perceraian
itu terjadi. Yang buruk jadikan sempadan dan yang baik jadikan teladan. Bagi sesetengah orang, perkataan cerai ini memang boleh meremangkan bulu roma. Begitu jugalah dengan saya. Nauzubillah, minta dijauhkanlah daripada kita semua.


Rumah tangga berseri
Agar rumah tangga anda sentiasa berseri dan bercahaya, banyak yang boleh dilakukan. Tahukah anda yang sebenarnya perkahwinan adalah permulaan sebuah  kehidupan dan bukannya penamat. Banyak yang perlu anda pelajari apabila telah menjawat jawatan suami ataupun isteri.
Akan tetapi, ramai yang tidak menghiraukannya. Setelah berkahwin dan dapat apa yang dihajatkan, mereka lupa untuk terus membajainya. Segalanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Akibatnya, hidup berumah tangga semakin membosankan. Jadi, apa lagi? Mulalah ada yang cari makan di luar. Semuanya bermula dengan sikap tidak endah. Menganggap semua perkara mudah.
“You ni, Sara, asyik dengan kawan-kawan saja. Habis suami you kat rumah tu macam mana? Tak marah ke dia,” kata Salina kepada rakan baiknya, semasa mereka berkaraoke dengan rakan-rakan lain. “Alah, tak payah risaulah. Rumah tangga I okey saja. Tak ada apa-apa masalah pun. Hubby I tak pernah bising pun fasal rumah tangga kami. Dia pun tak pernah larang I nak keluar dengan kawan-kawan,”balas Sara.

Rumah tangga seperti inilah yang bahaya wahai Sara. Walaupun perkahwinan anda berada di dalam keadaan yang baik, anda haruslah sentiasa memeriksanya. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya. Dalam diam-diam, dia “ngap” kita. Jika semasa memeriksa rumah tangga kita, dan didapati ada masalah, segeralah cari jalan untuk mengatasinya. Janganlah tunggu sehingga masalah tersebut menjadi parah. Bahaya! Kalau nasi sudah menjadi bubur, semuanya sudah tidak berguna lagi.

No comments:

Post a Comment