Sunday 12 June 2011

Mahu Zuriat Sendiri


“Saya dan isteri mendirikan rumah tangga sejak 8 tahun lalu. Tiga tahun pertama, kami berusaha mendapatkan cahaya mata. Malangnya, isteri disahkan tidak mampu hamil. Kini, kami kesunyian tanpa hilai tawa si kecil. Saya begitu menginginkan zuriat sendiri dan bukannya anak angkat. apa harus saya lakukan agar tidak melukakan perasaan isteri yang amat saya cintai?”


PANDANGAN KAUNSELOR:
Antara hikmah disyariatkan perkahwinan ialah untuk mengembangkan keturunan melalui kelahiran zuriat daripada hasil perkahwinan. Jarang pasangan yang mendirikan rumah tangga tidak mempunyai hasrat memiliki zuriat. Hampir semua pasangan inginkan cahaya mata. Saya percaya, bukan tuan sahaja yang merasa sepi dan sunyi tanpa tangisan dan ketawa si kecil. Isteri tuan juga pasti mempunyai rasa yang sama.
Andai isteri tuan sememangnya tidak mampu untuk hamil langsung; perkara paling penting untuk tuan lakukan ialah fahami emosinya terlebih dahulu. Tidak boleh mengandung dan melahirkan adalah satu musibah paling besar bagi seorang wanita. Emosinya pasti terluka dengan kehendak-Nya tetapi dia terpaksa redha. Sebagai seorang wanita, dia pasti mahu memberi tuan anak yang dikandung dan dilahirkannya sendiri. Takdir mengatasi segala dan sebagai hamba, mana mungkin dia melawan ketentuan-Nya.
Cara paling baik, tunjukkan keinginan tuan untuk mempunyai anak secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, jika tuan dan isteri keluar bersama-sama dan terserempak dengan pasangan yang berjalan bersama bayi mereka, tuan berlakon seolah-oleh teruja memerhatikan pasangan tersebut. Ambil sedikit masa hingga isteri perasan sikap tuan dan segera tersedar atau jika isteri yang sedar, cepat-cepat pegang erat atau peluk isteri.
Sama juga jika tuan menyaksikan drama atau foto bayi. Tuan boleh tunjukkan minat yang mendalam dan bila isteri tersedar, segera tonjolkan sikap romantik tanda kasih tidak berbelah bahagi.
Sikap tersebut akan difahami oleh isteri sebagai keinginan dan hasrat tuan yang tinggi untuk mempunyai anak. Isteri akan simpati dan serba salah. Simpati sebab memahami keinginan tuan dan serba salah sebab tidak berupaya tunaikan hasrat tuan sedangkan tuan tetap menyayanginya sepenuh hati. Insya-ALLAH, tiba satu masa isteri dengan sendiri akan luahkan keizinan agar tuan berkahwin lagi bagi menunaikan impian memiliki zuriat sendiri.

Jika perkara tersebut berlaku, jangan segera bersetuju tetapi jangan pula menolak. Sebaiknya ajukan kepada isteri sama ada dia benar-benar memaksudkan kata-katanya itu. Bila isteri mengaku, peluklah dia dan luahkan kasih sayang tuan. Ucapkan terima kasih atas sikapnya yang memahami dan berjanjilah dengan ikhlas (bukan lakonan) untuk sentiasa menyayangi dan menyintainya hingga ke akhir hayat.
Nampak seakan sebuah cerekarama bukan? Jangan ketawa! Tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku. Andai jalan cerita tuan tidak seperti olahan skrip yang saya kemukakan, maksud saya isteri tuan tidak ambil kisah dengan keterujaan tuan, tuan sendiri perlu bertindak selepas memberikan satu tempoh peluang kepadanya. Bawalah isteri tuan bercuti. Paling tidak, keluar makan ke tempat istimewa kemudian luahkan hasrat sebenar tuan secara baik dan berhikmah. Pokok utama perbincangan ialah keinginan tuan memiliki zuriat sendiri bagi meneruskan kelangsungan keturunan tuan.
Dalam jalan cerita seperti ini, isteri tuan pasti akan bangkitkan isu ketidakupayaan diri yang bukan kehendaknya dan pasti dia akan meminta tuan memahaminya. Tika ini, tuan perlu menjadi suami yang paling romantik dan luahkanlah pemahaman tuan. Luahkan juga, tuan turut mengharapkan agar isteri memahami kehendak tuan. Cakaplah penuh hikmah! Jangan utamakan perkara kahwin lagi sebaliknya fokus adalah untuk dapatkan zuriat daripada darah daging sendiri.

Saya cadangkan, berikan peluang kepada isteri untuk menentukan bakal madunya sendiri. Pasti dia akan lebih percaya niat tuan bukan berkahwin lagi tetapi demi cahaya mata. Jika kata sepakat telah dibuat, tuan perlu fahamkan bakal isteri, dia dipilih demi satu hasrat iaitu untuk kelangsungan keturunan dan jika dia mampu memberikan zuriat kepada tuan, bukan bererti dia lebih istimewa. Perlu fahamkan perkara tersebut agar isteri tuan sekarang tidak rasa rendah diri dan terus makan hati.

Tuan juga perlu bersedia daripada segi emosi, fizikal dan kewangan untuk mempunyai seorang lagi isteri. Bermadu tidak manis dan tidak pula pahit andai tuan sebagai ketua keluarga mampu mengemudi kedua-dua bahtera rumah tangga dengan baik. Kedua-dua isteri mempunyai kedudukan yang sama, langsung tiada beza biarpun yang pertama tidak berupaya memberikan anak kepada tuan. Tidak mampu mengandung dan melahirkan adalah kelemahan yang tidak mampu dibaikpulih oleh isteri lantas itu bukan kesilapannya yang boleh dijadikan sebagai senjata untuk menjatuhkan nilai dirinya di sisi tuan. Pastinya isteri tuan kini mempunyai keistimewaan tersendiri yang hanya tuan tahu dan fahami.

Seperkara; segala yang berlaku dan bakal berlaku adalah dengan ketentuan ALLAH SWT belaka. Sebagai manusia, keupayaan seorang doktor terhad sebaliknya kuasa ALLAH SWT mengatasi segala. Tidak mustahil, biar disahkan tidak mampu hamil tetapi dengan kehendak-Nya isteri tuan masih boleh hamil. Keajaiban itu bukan sesuatu yang mustahil bagi-Nya. Malah, tiada jaminan bakal isteri tuan nanti mampu untuk berikan zuriat kepada tuan. Dibuatnya bakal isteri hadapi masalah serupa dengan isteri kini, apakah tuan mahu kahwin dan kahwin lagi? Saya bukan menghalang poligami tetapi bermohon agar dalam melaksanakan sesuatu keputusan, jangan letakkan emosi di takhta teratas. Berfikirlah secara waras dan matang. Paling penting, berserah sepenuhnya kepada ALLAH SWT dalam menentukan sesuatu keputusan yang terbaik untuk masa depan tuan dan isteri.

Pasti ada hikmahnya hingga kini tuan masih belum menjadi bapa dan isteri belum menjadi ibu. Berdoalah! Andai mempunyai anak adalah yang terbaik untuk masa depan tuan dan isteri, bermohonlah agar isteri tuan hamil atau jika bukan takdir-Nya zuriat tuan daripada isteri kini, lapangkanlah hati isteri untuk berikan izin tuan berkahwin lagi dan kurniakanlah zuriat daripada isteri yang baru nanti.

Sentiasa mendoakan untuk dapatkan yang terbaik daripada-Nya. Bila Dia belum makbulkan, pasti ada ketentuan-Nya yang lebih baik untuk tuan dan isteri. Percayalah! Jangan sangka kelahiran anak semuanya menjadi penyeri rumah tangga kerana dalam kes yang pernah saya kendalikan, perkahwinan bahagia 12 tahun berakhir setelah anak lahir. Setiap perkara bersebab dan berhikmah!

No comments:

Post a Comment