Sunday 19 June 2011

Isteri dingin di bilik tidur


Hakikatnya, mendirikan mahligai bahagia tidak semudah yang disangka. Tanya pada diri sendiri, mampukah anda hidup bahagia dengan pasangan seperti sebelum melayari bahtera perkahwinan? Seperti kata orang-orang lama, sebelum berkahwin, kaulah bulan, kaulah bintang. Tetapi, selepas berkahwin, nak pandang muka isteri atau suami pun tak lalu.
Sebenarnya, banyak perkara perlu diperhatikan sebelum berani menerima gelaran suami atau isteri. Perkahwinan yang bahagia bukan hanya dilihat pada usianya atau pada kemewahan hidup sahaja. Kebahagiaan itu lahir daripada hubungan mesra, perasaan kasih sayang dan keikhlasan sesama pasangan.

Setelah mendirikan rumah tangga, semua harus dikongsi bersama. Bukan sahaja makanan, tempat tinggal tetapi juga tempat tidur. Walau bagaimanapun, tidak semua insan bergelar isteri mampu membahagiakan suami. Tidak lengkap hidup berumah tangga jikalau isteri hanya pandai menjaga makan, minum dan pakai suami tetapi tidak pandai melayan di tempat tidur.

Isteri dingin ketika di kamar beradu merupakan salah satu penyumbang ke arah keretakan rumah tangga. Selama ini yang sering kita dengar ialah suami mati pucuk. Jarang pula didengar masalah yang dikaitkan dengan pihak isteri. Seperti mana kaum Adam, kaum Hawa tidak terlepas mengalami masalah yang sama. Dikenali sebagai ‘frigiditi.’

‘Frigiditi’ ini merujuk kepada satu perasaan yang wujud dalam diri sesetengah wanita yang tidak bernafsu untuk melakukan hubungan kelamin. Mereka seolah-olah patung bernyawa yang tidak mempunyai perasaan ghairah terhadap pasangan. Cumbu rayu dan belaian mesra suami tidak dapat menarik perhatian mereka. Si isteri hanya beranggapan menjaga suami cukup dengan menjalankan tanggung jawab menguruskan makan minum dan keperluan harian sahaja. Mereka lupa tanggung jawab batin seorang isteri terhadap suaminya.

Wanita ‘frigiditi’ tidak mampu mencapai tahap orgasma setiap kali mengadakan hubungan kelamin. Hal ini berlaku kerana mereka menganggap melakukan hubungan kelamin dengan suami hanyalah untuk memenuhi keperluan suami dan merupakan aktiviti yang membosankan.

Terdapat dua faktor utama penyebab masalah ini. Pertamanya dari segi psikologi dan yang keduanya dari segi fizikal. Jika ditinjau dari segi psikologi, antara yang menjadi penyebab masalah ini ialah salah pengertian terhadap aktiviti seks itu sendiri. Bagi wanita-wanita ini, hubungan seksual adalah aktiviti yang menjijikkan. Mereka juga beranggapan bahawa hubungan tersebut hanya dilakukan oleh orang yang rendah moralnya. Oleh yang demikian, demi menjaga harga diri, mereka menolak untuk bersama suami. Pada anggapan mereka, pasangan normal tidak melakukan perbuatan yang dianggap terkutuk itu. Mereka rasa sangat tertekan jika suami mengajak melakukan hubungan kelamin.

Kurangnya pengetahuan tentang ilmu seks turut menyumbang kepada timbulnya masalah ini. Biasanya mereka beranggapan hubungan seks dalam satu perkahwinan hanya untuk mendapatkan zuriat sahaja. Mereka tidak tahu menilai betapa pentingnya hubungan seksual suami isteri.

Jika dilihat daripada segi fizikal, masalah ini boleh timbul akibat daripada kesakitan yang dialami semasa mengadakan hubungan kelamin. Mereka takut kesakitan akan berulang setiap kali bersama suami. Selain itu, ‘frigiditi’ mungkin disebabkan oleh menopaus.

Ketahuilah bahawa menopaus tidak hanya menyerang wanita berusia 50 tahun ke atas sahaja. Malahan kadang kala boleh terjadi kepada wanita-wanita yang lebih muda. Keadaan ini disebut sebagai menopaus pramatang. Akibat menopaus, faraj wanita akan menjadi kering dan menyukarkan hubungan kelamin. Akibat masalah ini, wanita yang mengalaminya akan dingin terhadap seks.

No comments:

Post a Comment