Sunday 19 June 2011

Terlepas Temankan Isteri


Hari Jumaat, 14 Mei 2010 tidak akan ku lupakan dalam lipatan hidup kami sekeluarga. Perjalanan kami sekeluarga dari Skudai ke Felda Bukit Dading, Ajil, Terengganu memang penuh debaran. Hari sebelumnya, kami membuat pemeriksaan mingguan ibu mengandung di Pusat Kesihatan UTM. Doktor cuma berkata agar kami berhati-hati semasa dalam perjalanan. Jika ada apa-apa, kami perlu terus ke hospital berdekatan.
Keesokan hari, awal pagi Jumaat kami sekali lagi membuat pemeriksaan kesihatan ke atas kandungan di Klinik Fatimah, Taman Universiti. Doktor memberi reaksi bahawa serviks isteriku sudah terbuka 1.5 sm. Beliau menjangkakan paling awal isteriku akan bersalin di sebelah petang atau malam hari Jumaat. Jadi, kami bersepakat meneruskan hasrat pulang ke Terengganu.


Jam 11.30 pagi kami memulakan perjalanan. Pada awal perjalanan, isteriku tidak menunjukkan apa-apa tanda. Selepas dua jam perjalanan, isteriku mula sakit. Risau dan bimbang mula membelenggu. Syukur, tepat jam 7 malam kami sampai di Ajil. Setelah siap berkemas, aku, isteri, ibu mertua dan tok nik tiba di Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang pada jam 10 malam. Setelah membuat pendaftaran dan pemeriksaan, kami kecuali isteri menunggu di luar wad bersalin. Jururawat memberitahu serviks isteriku baru terbuka 2 sm. Dalam fikiran, tempoh isteriku lambat lagi. Oleh itu, aku bertemu bapa mertuaku di Kuala Berang sambil menikmati teh tarik dan roti tempayan dengan kuah kari kambing. Setelah selesai, aku bergegas semula ke hospital.

Di luar wad bersalin, isteriku menghantar SMS bahawa beliau mula mengalami kontraksi 5 minit sekali. Jelas kedengaran, suara perempuan berteriak memanggil jururawat. Itu suara isteriku yang benar-benar mahu bersalin. Pihak hospital memohon maaf kepada kerana tidak sempat memanggilku untuk menemani isteri yang bersalin pada 2.15 pagi. Aku redha dengan ketentuan-Nya.


Aku terus bertemu isteri untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana melahirkan bayi pertama lelaki yang selama ini kami nantikan, Ku kucup dahi isteri kemudian mengucup dahi anak lelakiku yang bernama Muhammad Azfar. Ku laungkan azan di sebelah kanan dan ku iqamat di sebelah kiri telinga anakku. Syukur ke hadrat Ilahi, isteriku selamat bersalin walaupun sudah tiga kali aku terlepas menemaninya saat melahirkan anak kami.

No comments:

Post a Comment