Sunday 19 June 2011

Tidak ghairah

S : Doktor, saya berusia 24 tahun dan baru mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan keluarga saya sebulan yang lalu. Sepanjang saya bergelar suami, saya langsung tidak ada perasaan ghairah atau seronok untuk melakukan hubungan kelamin dengan isteri. Adakah hal ini normal kerana saya berkahwin dengannya bukan atas dasar cinta? Saya berharap doktor dapat membantu kerana saya tidak mahu perkahwinan saya berakhir disebabkan perkara ini.


J : Anda telah pun diijabkabulkan dengan perempuan yang anda tidak pernah cinta dan anda setuju kepada pernikahan itu dan nikah itu pun telah disaksikan oleh ramai orang. Isteri anda pun telah bersetuju di hadapan ramai saksi dan menerima anda sebagai suaminya. Jelas, anda telah berkorban untuk keluarga dan telah menerima wanita tersebut sebagai isteri anda. Jika sekarang anda memberitahu yang anda tiada apa-apa perasaan kepadanya, maka anda telah melakukan satu kesalahan yang besar, iaitu menipu diri, menipu wanita yang bergelar isteri dan juga menipu semua orang yang menyaksikan pernikahan anda dengannya.

Perkahwinan tidak boleh dipaksa. Jika anda masih pegang dengan tanggapan yang cinta mustahak sebelum berkahwin, anda sebenarnya sudah melanggar syarat-syarat tersebut. Anda tidak boleh mensia-siakan wanita yang sekarang sudah bergelar isteri anda dan menjadikan dia mangsa sikap anda yang berpura-pura. Jika anda bersedia untuk menerimanya, yang mana anda sudah pun lakukan, anda perlu bersedia untuk membuka hati anda menerimanya dan menghayatinya. Jika anda boleh buat begitu, mungkin perkahwinan anda dapat diselamatkan. Anda perlu sedar, kesemua ini ialah perbuatan anda. Anda yang terima nikah itu. Anda tidak boleh salahkan sesiapa.

No comments:

Post a Comment