Sunday 19 June 2011

Sperma Tidak Normal Sukar Hasilkan Zuriat


Kebanyakan lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah. Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan.

Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan.
Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal. Bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta. Apa pun, bagi membolehkan wanita hamil, lelaki hanya perlukan satu sperma yang sihat saja.
Anda perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu mempunyai bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90% adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50% daripadanya tidak normal.

Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60% yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati.
Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan.

Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap satu mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa.
Banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam skrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol, obesiti dan testis yang tidak normal.

Rawatan
Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal, pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal.
Seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya. Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian beradas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI).


Cara Meningkatkan Sperma
• Amalkan gaya hidup sihat dan diet seimbang
• Bersenam.
• Kurangkan tekanan.
• Jaga berat badan.
• Berhenti merokok.
• Kurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol.
• Jauhi najis dadah.
• Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar.


Simpan Telefon Dalam Poket Lelaki Berisiko Mati Pucuk
Masih berkaitan sperma. Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka.

CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk.
Keputusan itu berdasarkan hasil kajian CAP tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari. Hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada 4 jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.

Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas.
Selain itu, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan ‘keypad’ mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh.

No comments:

Post a Comment